Mengaji al-Quran adalah suatu amalan yang mudah. Bersesuaian dengan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Qamar, ayat 17, 22, 32 dan 40), terdapat 4 kali Allah s.w.t. menyebut ayat yang sama di dalam surah yang sama…
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ
Maksudnya: Dan demi sesungguhnya Kami (ALLAH) telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?
Ibnu Kathir rahimahullah dalam tafsirnya menyatakan maksud ayat ini ialah Kami telah mudahkan lafaznya (perkataan), mudahkan maknanya untuk difahami bagi sesiapa sahaja yang hendak mengambil pelajaran daripada Al-Quran.
Manakala As-Sa’di rahimahullah pula menyatakan, ayat ini bermaksud Kami telah menyenang dan memudahkan al-Quran ini, perkataannya untuk dihafaz, dan maknanya untuk difahami, kerana al-Quran adalah Kalamullah yang terbaik perkataannya, dipercayai maknanya, dihuraikan dengan tafsir. Maka sesiapa yang menjadikan al-Quran sebagai panduan, dipermudahkan Allah ke atasnya segala urusan.
Oleh sebab itu, hari ini di mana-mana sahaja umat Islam berada walaupun bukan berbangsa Arab, mereka boleh mengaji al-Quran sekurang-kurangnya membaca surah al-Fatihah dalam solat. Sementara itu, dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang diadakan pada setiap tahun, kita dialunkan dengan bacaan al-Quran yang fasih, lancar dan merdu daripada peserta bukan berbangsa Arab. Allahu Akbar!!!
Kesimpulannya, membaca al-Quran bukanlah susah sebagaimana persepsi kita sebaliknya…ianya adalah mudah.
Wallah a’lam
Untuk pelajari al-Quran dengan mudah layari https://zulkiflinasirudin.com